background

Thursday, 22 November 2018

Hibernasi

سم الله الرحمن الرحيم

Dalam kehidupan, kita tidak pernah sunyi dari ujian, dugaan dan pelbagai permasalahan. Kadangkala ia menyebabkan kita hampir berputus asa dan merasa seakan dunia ini tidak adil buat kita. Mari kita renung bersama firman Allah dalam surah Al-Ankabut, ayat 2 yang bermaksud:

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji lagi? (29:2)


Perasaan sedih, kecewa dan pelbagai lagi emosi negatif adalah normal selepas kita dilanda musibah. Kadangkala situasi ini juga menyebabkan kita merasakan adalah amat sukar untuk kita melakukan apa-apa dan lebih senang untuk menyendiri. Kita boleh menamakan situasi ini sebagai hibernasi. Kalau beruang kutub berhibernasi untuk meminimumkan penggunaan tenaga di musim  sejuk, kita pula berhibernasi untuk mengurangkan tekanan dan bermuhasabah diri.


Waktu menyendiri atau hibernasi sebenarnya memberikan kita peluang untuk memahami emosi yang dialami pada ketika itu dan jujur dengan perasaan sendiri. Tempoh hibernasi ini seharusnya digunakan sebaik mungkin agar langkah mendatang jadi lebih gagah, hati jadi lebih tabah dan pendirian tidak mudah goyah.


Tiga perkara yang paling penting perlu diambil perhatian semasa berhibernasi adalah:
  1. Berhati-hati dengan siapa anda bercakap dan berkongsi masalah.
Ada satu golongan manusia yang mempunyai kebolehan untuk membuatkan kita berasa sangat teruk selepas bercakap dengan mereka.  Contohnya, sekiranya kita terbeli satu barang dengan harga yang mahal dan menceritakan perkara tersebut kepada rakan, kemudian dia dengan penuh semangatnya menyatakan betapa ruginya kita dan kitalah orang yang paling malang kerana sering mengalami pelbagai masalah dalam tempoh beberapa bulan ini. Apa yang dinyatakan oleh rakan tersebut menyebabkan kita semakin tertekan dan bukanlah menimbulkan perasaan tenang, jauh sekali untuk menyelesaikan isu yang sedang kita hadapi.

Ada juga golongan yang seakan “menggalakkan” kita melayan perasaan sedih, sayu dan hiba dengan terus-terusan menyatakan betapa “kasihannya” mereka melihat keadaan kita ketika itu, betapa perkara tersebut “tidak patut” berlaku kepada kita, betapa kita ini adalah “mangsa” keadaan. Golongan ini hanya akan menyebabkan kita merasa sangat lemah dan seolah tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah atau isu yang sedang kita hadapi.

Mungkin kita juga pernah berdepan dengan situasi di mana semasa kita sedang meluahkan perasaan kepada rakan, mereka terus memberikan pelbagai nasihat tanpa memberi peluang untuk kita  benar-benar meluahkan segala yang terbuku di hati. Selain itu juga, terdapat golongan yang akan lebih menceritakan kisah-kisah sedih dan kesusahan yang di alami mereka berbanding mendengar apa yang kita ingin kongsikan sekiranya perkara tersebut pernah dialami mereka sebelum ini. Akhirnya kita keliru dan terfikir, “sebenarnya aku ke dia yang tengah tertekan ni?”

Kita juga mungkin akan rasa ingin mengelak dari orang-orang yang “terlalu positif” namun tidak berpegang pada realiti semasa. Sebagai contoh, anda terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kedua-dua kaki anda di potong, rakan anda dengan penuh senyuman menyatakan “tidak mengapa, sekurang-kurangnya awak masih ada tangan”.

Sebenarnya, semasa dalam tempoh hibernasi ini kita perlu memastikan orang yang kita pilih untuk berkongsi masalah itu adalah orang yang bersedia mendengar luahan kita, yang memberi ruang untuk kita meluahkan segala perkara yang mengganggu kita dan yang ikhlas menyatakan pendapat atau nasihat mereka kepada kita. Oleh itu, kita perlu bijak memilih siapakah orang yang sesuai untuk bersama kita semasa hibernasi, siapakah orang yang perlu kita elakkan atau kita lebih selesa berseorangan semasa proses hibernasi tersebut.


2.     Berhati-hati dengan berapa ramai orang yang anda bercakap

Biasanya, apabila orang bertanya “apa khabar?” “ada yang tak kena ke?”, kita akan ada kecenderungan untuk bercerita tentang keadaan kita dan apa yang sedang kita alami. Namun, semasa tempoh hibernasi, kita perlu lebih berhati-hati dalam meluahkan apa yang berlaku kepada kita. Terdapat dua sebab mengapa kita perlu menitikberatkan tentang berapa ramai orang yang kita boleh berkongsi masalah kita.

Pertama, semakin kerap kita mengulangi cerita atau isu yang berlaku, semakin kerap kita mengingati dan merasai semula pengalaman dan emosi negatif yang berkaitan dengan isu tersebut. Kita mungkin terlupa dengan isu yang sedang dihadapi buat seketika kerana sibuk dengan rutin harian sehinggalah ada yang bertanya “okay ke ni?”. Pada saat itu, sebenarnya kita mempunyai pilihan sama ada untuk bercerita lebih lanjut atau hanya cerita ringkas sahaja dengan membuat pertimbangan, adakah yang bertanya itu betul-betul ingin mengetahui apa yang sedang kita alami atau hanya sekadar untuk berbasa-basi? Sekiranya kita merasakan ia hanyalah pertanyaan untuk mewujudkan suatu perbualan, kita mungkin boleh bercerita secara ringkas tentang apa yang dialami dan sekiranya kita merasakan penanya itu memang betul-betul ingin mengetahui apa yang sedang berlaku pada kita, mungkin kita boleh menceritakan versi yang lebih panjang kepada mereka jika kita rasa ingin berbuat demikian.

Kedua, sekiranya kita sering menceritakan perkara yang sama kepada beberapa orang di sekeliling kita, kita mungkin akan dilabel sebagai seorang yang membosankan terutamanya bagi mereka yang sebenarnya tidak berminat pun untuk mengetahui apa yang sedang berlaku kepada kita.

3.    Berhati-hati dengan tempoh hibernasi

Kadangkala kita akan rasa selesa berhibernasi kerana mendapat perhatian dari orang lain yang menyebabkan kita ingin berada dalam keadaan tersebut lebih lama. Tapi, sebenarnya berada dalam keadaan tersebut terlalu lama adalah tidak membantu untuk perkembangan diri yang lebih baik.
Tempoh hibernasi adalah bergantung kepada beberapa perkara iaitu, tahap keseriusan suatu isu, sokongan yang diperolehi  dan kesediaan kita untuk meneroka cara bagaimana untuk berubah kepada keadaan yang lebih baik. Dalam keadaan ini, kita perlu memikirkan apakah yang kita perolehi sekiranya berada dalam keadaan hibernasi terlalu lama?berapa banyak tenaga dan peluang yang telah kita bazirkan semasa kita berada dalam tempoh hibernasi?


Dalam tempoh hibernasi ini, kita sebenarnya perlu banyak menimbang baik buruk suatu perkara yang telah berlaku. Jujur dengan perasaan sendiri seterusnya pandang ke hadapan untuk melihat peluang-peluang ke arah penambahbaikan. Langit tidak selalunya cerah, hujan pun tidak akan berpanjangan kerana selepas hujan, pelangi cantik yang akan datang.  

Thursday, 8 November 2018

MENGENALI PERSONALITI DIRI MELALUI MYERS-BRIGGS TYPE INDICATOR (MBTI)

سم الله الرحمن الرحيم


Manusia itu unik. Itulah ayat yang popular di kalangan pengamal-pengamal kaunseling. Ini mungkin mempunyai kaitan yang agak rapat dengan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seorang kaunselor. “Penerimaan tanpa syarat”, menerima klien seadanya. Pernahkah kita terfikir tentang perbezaan dari segi pembawaan diri antara kita dan orang sekeliling kita? Kenapa ada individu yang kita kenali mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan kita dan ada juga yang terlalu berbeza sehingga menyebabkan kadangkala kita rasa kurang selesa dan sukar memahami mereka?

Dalam Al-Qurat surah al-Hujurat, ayat 13, Allah berfirman yang bermaksud: 
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan serta Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.
Perbezaan setiap individu boleh dilihat dari perspektif psikologi dan ia berkaitan dengan personaliti. Cuba bayangkan jika semua manusia di dunia ini sama dari segi perangai dan perilaku, apakah yang akan berlaku?. Keunikan setiap individu memberikan ruang kepada kita untuk saling mengenali dan memahami. Perbezaan ini jugalah menjadikan kita saling lengkap-melengkapi.
Terdapat pelbagai teori personaliti yang telah dikaji oleh ahli psikologi sama ada dari aspek tret mahupun type. Artikel ini akan membincangkan personaliti berdasarkan Myers-Briggs Type Indicator (MBTI) yang telah dibangunkan oleh Katherine C. Briggs dan Isabel Briggs Myers yang berasaskan Teori Personaliti Carl Jung. Untuk mengetahui ciri personaliti berdasarkan indikator ini, seseorang individu perlulah menduduki ujian psikologi MBTI yang mengandungi 93 item.
Apa itu Myerss-Briggs Type Indicator ?
MBTI mengukur kecenderungan dan ciri-ciri seseorang individu. Empat kecenderungan yang di ukur adalah ektraversi atau introversi, sensing atau intuition, thinking atau feeling dan judging atau perceiving.
Ekstraversi Vs Introversi



Pernahkah anda berjumpa orang yang sangat peramah dan tidak kisah untuk bercerita tentang pelbagai perkara walaupun kita baru sahaja mengenali mereka? Apakah perasaan anda bila bergaul dengan mereka? Perkara ini dijelaskan oleh MBTI dengan mengaitkan dengan kecenderungan ektraversi dan introversi seseorang individu. Bagi individu yang ekstravert, mereka dilihat sebagai seorang yang suka bergaul, bertenaga, mudah didekati, senang berkongsi pendapat dan perasaan dengan orang lain. Biasanya mereka tidak gemar bersendirian kerana memerlukan interaksi dengan orang lain dan akan cuba untuk melakukan perkara yang membolehkan mereka terdedah dengan perkara sekeliling. Disebabkan tabiat yang suka mengeluarkan pendapat tanpa berfikir panjang, individu yang ekstravert mungkin dilihat sebagai seorang yang berfikiran cetek kerana pendapat yang diluahkan kerap berubah.
Bagaimana pula dengan individu yang introvert? Biasanya individu ini akan merasa tertekan dengan tuntutan persekitaran yang memerlukan mereka berinteraksi dalam kumpulan yang besar. Mereka lebih gemarkan perkara-perkara yang melibatkan pemikiran dan internal, interaksi secara satu dengan satu dan selalunya dilihat sebagai seorang yang pendiam dan memerlukan masa yang lama untuk mengenali mereka. Dalam menangani sesuatu isu, individu yang introvert biasanya akan membuat refleksi dan berfikir secara mendalam terlebih dahulu kemudian barulah bertindak. Mereka selesa bersendirian dan disebabkan itu mereka dilihat sebagai orang yang menyisihkan diri dari orang lain.
Sensing Vs Intuition


Bagi perbandingan kecenderungan kedua iaitu Sensing dan Intuition pula menjelaskan tentang cara seseorang individu mendapatkan maklumat. Bagi yang mempunyai kecenderungan sensing, mereka menggunakan kelima-lima deria untuk mendapatkan maklumat iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa dan bau. Manakala bagi mereka yang mempunyai kecenderungan Intuition, mereka lebih cenderung untuk menggunakan gerak hati dan mengaitkan maklumat yang diperolehi secara lebih meluas.
Jika diperhatikan orang sekeliling kita, pernahkah anda melihat orang yang terlalu terperinci dalam melakukan sesuatu perkara dan ada pula orang yang kadangkala dirasakan terlalu imaginatif? Perbandingan ini merupakan contoh untuk menerangkan tentang perbezaan antara Sensing dan Intuition. Bagi individu yang mempunyai kecenderungan kepada sensing, mereka melihat sesuatu secara spesifik dan satu per satu, fokus kepada apa yang sedang berlaku pada masa itu, lebih berminat untuk mengendalikan sesuatu yang praktikal, tepat dan boleh diukur. Mereka juga akan melakukan sesuatu kerja mengikut turutan yang sepatutnya. Biasanya dalam melakukan sesuatu tugas, mereka akan cuba memahami bahagian-bahagian kecil terlebih dahulu sebelum mengaitkannya dengan fungsi yang lebih besar. Mereka juga gemar menggunakan dan memperbetulkan perkara-perkara yang biasa dilakukan. Orang-orang sensing ini juga mungkin akan dilihat sebagai seorang yang materialistik dan mempunyai pemikiran yang realistik oleh orang sekeliling.
Seseorang yang mempunyai kecenderungan kepada intuition biasanya akan melihat kepada perhubungan antara sesuatu perkara dan berpandangan jauh. Mereka gemar berimaginasi tentang kemungkinan yang boleh berlaku dan sukakan peluang untuk mencipta sesuatu yang baru. Dalam melakukan sesuatu kerja, mereka lebih sukakan kebebasan dan tidak terikat dengan langkah-langkah yang ditetapkan. Mereka akan melihat sesuatu perkara secara meluas dan memahami bagaimana perkara tersebut bersesuaian antara satu sama lain. Disebabkan sikap mereka yang suka melakukan eksperimen bagi menghasilkan kelainan dan sesuatu yang baru, mereka ini sering dilihat sebagai seorang yang idealistik dan suka berangan-angan.
Thinking Vs Feeling


Untuk kecenderungan seterusnya iaitu Thinking atau Feeling, ia adalah untuk menjelaskan tentang cara seseorang itu membuat keputusan. Bagi yang cenderung untuk menggunakan thinking, mereka membuat sesuatu keputusan berdasarkan analisis secara logik manakala bagi yang menggunakan feeling pula, mereka membuat keputusan berdasarkan penilaian kepentingan dan keadaan semasa.
Individu yang cenderung kepada thinking biasanya membuat keputusan menggunakan pemikiran, logik dan mementingkan prinsip seperti keadilan dan kebenaran. Mereka akan menilai sesuatu perkara yang berlaku sebagai orang luar dan biasanya sangat bagus dalam membuat analisa sesuatu perancangan. Individu ini mungkin dilihat sebagai orang yang meninggi diri dan suka mengkritik.
Bagi individu yang cenderung kepada feeling pula, mereka biasanya menggunakan perasaan dalam membuat keputusan dan didorong oleh kepercayaan peribadi. Mereka menitikberatkan nilai-nilai keharmonian dan perhubungan. Dalam menangani sesuatu isu, mereka akan membuat penilaian seolah-olah mereka terlibat secara langsung dengan isu berkenaan. Individu ini mudah memahami orang lain dan menghargai apa yang ada di sekeliling. Namun begitu, mereka mungkin dilihat sebagai penyibuk oleh sesetengah orang (kerana sifat ambil beratnya) dan emosional.


Judging Vs Perceiving




Kecenderungan yang terakhir adalah judging dan perceiving. Ia menerangkan tentang gaya hidup seseorang individu. Bagi individu yang cenderung kepada judging, kehidupan mereka adalah teratur dan mempunyai perancangan yang jelas. Manakala bagi individu yang cenderung kepada perceiving, mereka lebih fleksibel, spontan dan mudah beradaptasi dengan keadaan semasa.
Gaya hidup orang judging lebih teratur, sukakan perkara yang tepat, berstruktur dan sentiasa ingin mengawal keadaan. Disebabkan itulah mereka dilihat sebagai seorang yang tegas dan mempunyai had-had yang jelas dalam melakukan sesuatu perkara. Mereka bijak merancang dan sekiranya perlu melakukan sesuatu kerja dalam tempoh tertentu, mereka akan menyiapkannya lebih awal dari tarikh akhir kerja tersebut. Individu ini mungkin dilihat sebagai seorang yang cerewet dan rigid oleh orang lain.
Gaya hidup orang perceiving pula lebih fleksibel dan bertindak mengikut keadaan semasa. Mereka cenderung untuk mendapat pengalaman-pengalaman hidup yang baru dan tidak mempunyai perancangan yang terperinci. Ini mungkin kerana mereka suka berada dalam situasi yang memberi kejutan dan rasa ingin tahu. Mereka sukakan kebebasan dan keterbukaan. Dalam melakukan sesuatu kerja, mereka akan melakukannya di saat-saat akhir dan disebabkan itulah mereka dilihat sebagai seorang yang tidak teratur atau kurang bertanggungjawab.

Kesimpulan
Mungkin sepanjang membaca artikel ini, ada terlintas difikiran bahawa anda mempunyai kedua-dua ciri untuk setiap kecenderungan. Sebenarnya kita memang menggunakan ciri-ciri tersebut dalam kehidupan harian tetapi MBTI mengukur kecenderungan manakah yang kita paling selesa dan akan melakukannya secara spontan. Perkara ini boleh dianalogikan dengan penggunaan tangan kanan atau kiri untuk menulis. Kita boleh menggunakan kedua-dua tangan untuk menulis namun tangan manakah yang kita paling selesa dan tidak memerlukan usaha yang terlalu banyak untuk melakukan perkara tersebut.
Ciri-ciri untuk keempat-empat kecenderungan saling memerlukan antara satu sama lain untuk menjadikan hidup kita seimbang bersesuaian dengan keperluan harian ataupun tuntutan pekerjaan. Ia mungkin memerlukan sedikit usaha untuk menyeimbangkan ciri-ciri ini. Sebagai contoh, seorang pegawai yang mempunyai kecenderung perceiving boleh melatih diri untuk menjadi seorang judging kerana tuntutan kerja yang memerlukan beliau menjadi lebih teratur dan berstruktur walaupun sebenarnya beliau lebih cenderung kepada cara yang lebih fleksibel dan spontan. Namun begitu, seseorang yang gagal menyeimbangkan ciri-ciri personaliti mungkin akan mengalami konflik dan gagal melakukan tugas seperti yang diperlukan.
Apakah kepentingan mengetahui personaliti kita dan orang sekeliling kita? Jawapan klise yang kita akan dapat adalah untuk mengenali kekuatan dan kelemahan diri. Namun disebalik jawapan itu, kita sebenarnya lebih mudah mengawal diri dan keadaan semasa. Memahami personaliti menjadikan kita seorang yang tidak cepat melatah, mengkaji sesuatu perkara dengan lebih rasional dan bijak berinteraksi dengan orang sekeliling. Pelbagai aspek boleh dikaji menggunakan MBTI seperti kepimpinan, kecerdasan emosi, pembangunan kumpulan, menangani konflik dan lain-lain lagi. 
16 type Personaliti berdasarkan gabungan 4 kecenderungan dalam MBTI. Anda yang mana?


Rujukan:-
1. Isabell Btiggs Myers et.al, MBTI Manual A Guide to the Development and Use of the Myers-Briggs Type Indicator Instrument (3rd edition), 2003. CPP Inc
2. Earle C. Page, Looking at Type, 2005. Centre for Applications of Psychological Type, Inc


Saya,  Certified MBTI Administrator