سم الله الرحمن الرحيم
Setiap dari kita mempunyai cara atau pendapat tersendiri dalam menilai sesuatu perkara atau situasi. Perbezaan pendapat ini wajar diraikan kerana setiap dari kita melihat sesuatu perkara dari perspektif yang berlainan.
Bayangkan sebiji bola pantai gergasi yang berwarna-warni seperti gambar dibawah diletakkan di tengah-tengah sebuah bilik dan dua orang diletakkan di bahagian kanan dan kiri bola pantai tersebut. Jika ditanya pada si A, apakah warna bola pantai tersebut, maka si A akan menjawab bola tersebut berwarna putih, merah dan putih. Manakala jika di tanya si B soalan yang sama, maka si B akan menyatakan bola pantai tersebut berwarna kuning, putih dan biru. Siapakah antara kedua mereka yang tepat jawapannya? Sudah tentu kedua-dua mereka memberikan jawapan yang tepat berdasarkan perspektif dan sudut pandangan mereka. Ini adalah contoh yang jelas untuk menerangkan kenapa berlakunya perbezaan pendapat dan pandangan dalam setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian kita.
Apakah yang mempengaruhi cara kita membuat penilaian?
1. Usia
Usia kita mempengaruhi cara kita menilai sesuatu perkara yang berlaku dalam kehidupan kita. Semakin meningkat usia, selalunya semakin banyak pengalaman yang kita lalui dan menjadikan kita lebih matang dalam menilai suatu perkara.
2. Nilai
Nilai yang kita pegang memberikan kita panduan bagaimana cara yang betul untuk kita “melihat dunia”. Disebabkan itu, biasanya orang yang menilai sesuatu perkara dengan cara yang berbeza dengan kita dianggap “salah”. Pemikiran “cara saya betul dan cara awak salah” ini mungkin menyebabkan kita gagal mewujudkan perhubungan yang baik dengan orang lain.
3. Personaliti
Terdapat pelbagai dimensi dan teori yang menerangkan tentang personaliti manusia. Personaliti ini akan mempengaruhi cara kita menerima dan bertindak balas terhadap persekitaran. Antara ujian personaliti yang boleh diambil adalah Inventori Personaliti Sidek (IPS), Inventori Personaliti Warna (IPW), Myers-Brigss Type Indicator (MBTI) dan sebagainya. Dengan mempelajari tentang personaliti, kita bukan sahaja dapat mengenali diri sendiri dengan lebih baik malah dapat memahami orang di sekeliling kita. Dengan kefahaman inilah kita lebih mudah untuk meraikan perbezaan tersebut.
4. Pemikiran/keadaan semasa
Bayangkan jika kita dinaikkan pangkat pada hari ini, dan semasa pulang dari tempat kerja, kita mengalami kemalangan kecil. Apa yang kita fikirkan pada masa itu? Mungkin kemalangan kecil itu tidak akan menjejaskan diri kita berbanding jika kita baru sahaja dimarahi ketua di tempat kerja dan mengalami kemalangan kecil semasa pulang dari kerja. Pada masa itu, kita mungkin akan rasa sangat tertekan dan seolah-olah kitalah insan yang paling malang pada hari tersebut. Jadi pemikiran dan keadaan semasa memberi kesan kepada cara kita membuat penilaian.
Tips meraikan perbezaan
Adalah normal jika kita mempunyai pendapat yang berbeza dengan orang lain. Namun begitu kitaperlu berusaha untuk meraikan perbezaan tersebut agar kita dapat melihat sesuatu perkara dalam perspektif yang berbeza dan dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan orang sekeliling.
Perlu diingatkan, memahami pandangan orang lain tidak bermakna kita wajib bersetuju dengan pandangan tersebut. Namun begitu, dengan memahami pandangan orang lain kita dapat menilai sesuatu perkara dengan perspektif yang berbeza dan menggalakkan perbincangan dalam suasana yang lebih positif. Bayangkan bagaimana suatu perkara boleh dibincangkan dengan baik jika kita dari awal mempunyai pemikiran “aku betul, kau salah”?
Berikut merupakan tips untuk kita meraikan perbezaan antara kita dan orang sekeliling:-
A) Jangan berbincang jika berada dalam keadaan marah kerana ia hanya akan menyebabkan pergaduhan dan bukanlah perbincangan.
B) Berikan sepenuh perhatian dan dengar dengan teliti.
C)Jangan menyampuk atau menguasai perbualan. Beri peluang kepada rakan untuk menyatakan pandangannya.
D)Cuba fahami dari perspektif rakan tersebut. Ketepikan dahulu penilaian awal terhadap pandangan mereka.
E) Semasa mendengar, lihat perkara-perkara yang boleh dipersetujui berbanding hanya fokus kepada perkara-perkara yang tidak dipersetujui.
F) Jika terdapat sebarang kemusykilan, dapatkan penjelasan untuk mengelak salah faham.
G) Kongsi pandangan kita dengan jelas, menggunakan bahasa yang mudah difahami dan berikan peluang kepada rakan untuk bertanya apabila perlu.
KESIMPULAN
Mempunyai pandangan yang berbeza tentang sesuatu isu adalah suatu perkara yang normal memandangkan setiap dari kita mempunyai pengalaman, latar belakang, personaliti dan sudut pandangan yang berbeza. Namun begitu, jika kita bijak mengendalikan dan meraikan perbezaan yang ada, kita mampu mencapai pelbagai perkara sama ada dalam bidang pekerjaan mahupun peribadi. Raikan perbezaan dan hargailah persamaan.
Rujukan:
Paul McGee, (2011). S.U.M.O (Shut Up, Move On)
No comments:
Post a Comment