background

Sunday 4 November 2018

5 Bahasa Penghargaan di Tempat Kerja


سم الله الرحمن الرحيم



Adakah anda rasa dihargai di tempat kerja? Jika ya, semestinya anda berasa seronok untuk bekerja setiap hari. Jika tidak, mungkin anda terus bekerja disitu hanya untuk mendapat gaji bagi memastikan keperluan asas kehidupan anda dapat dipenuhi.
Setiap manusia normal memang menginginkan penghargaan. Sama ada di   rumah mahupun di tempat kerja. Tapi tahukah anda setiap orang memerlukan cara yang berbeza untuk rasa dihargai? Mereka lebih rasa dihargai jika kita menggunakan cara A berbanding cara B. Terdapat lima jenis Bahasa      Penghargaan di tempat kerja iaitu:-
¨ Kata-kata peneguhan/pujian
¨ Masa berkualiti
¨ Memberi khidmat
¨ Hadiah
¨ Sentuhan fizikal 

5 Bahasa Penghargaan di Tempat Kerja



Kata-kata Peneguhan/Pujian 

Individu yang lebih selesa dengan bahasa penghargaan berbentuk kata-kata peneguhan/pujian merasa dihargai apabila hasil kerja yang dilakukan diberikan pujian sama ada secara verbal atau pun bertulis (melalui emel atau surat). Pujian atau peneguhan secara spesifik lebih memberi kesan kepada mereka. Sebagai contoh, pujian “Terima kasih kerana menghantar laporan yang lengkap dan kemas kepada saya” adalah lebih baik    berbanding “Terima kasih, saya sudah terima laporan”. Kata-kata peneguhan yang spesifik ini akan memberikan lebih semangat kepada penerima untuk melakukan kerja dengan lebih baik. Selain itu, kata-kata peneguhan atau pujian terhadap karakter dan personaliti seseorang juga mampu memberikan kesan yang    sangat positif kepada mereka. Sebagai contoh, memberi pujian tentang sikap baik, jujur dan rajin yang ditunjukkan oleh mereka. 
 
Kata-kata peneguhan atau pujian ini boleh diberikan semasa bersendirian bersama staf tersebut atau di depan rakan sekerja yang lain. Selain itu kata-kata peneguhan atau pujian juga boleh diberikan melalui surat   penghargaan. 



Masa Berkualiti

Bagi individu yang cenderung kepada bahasa penghargaan masa berkualiti pula, mereka merasa dihargai     apabila rakan sekerja/ketua meluangkan sedikit masa bersama mereka sama ada untuk bertanyakan perihal kerja atau peribadi. Masa berkualiti yang diberikan kepada mereka menyebabkan mereka merasa dihargai dan memberikan semangat kepada mereka untuk menyumbang kepada  organisasi.
Semasa meluangkan masa bersama mereka, tumpukan sepenuh perhatian, jangan menyampuk, mendengar dengan aktif tentang perasaan dan pemikiran yang dikongsikan oleh mereka. Masa berkualiti ini mungkin boleh dilakukan sebelum mula melaksanakan tugas pada waktu pagi, semasa waktu rehat tengahari atau selepas waktu bekerja. 





Memberi Khidmat 

Ada individu yang rasa dihargai apabila rakan sekerja atau ketua membantu mereka dalam menyiapkan      tugasan yang sedang   mereka laksanakan. Mereka merasakan dengan khidmat bantuan yang diberikan oleh rakan sekerja atau ketua itu adalah tanda usaha mereka dalam menyelesaikan tugas dihargai oleh orang sekeliling. Namun begitu, rakan sekerja atau ketua perlu memastikan bantuan yang diberikan sesuai dengan kehendak mereka berdasarkan perbincangan bersama.


 



Hadiah 

Bagi individu yang mempunyai bahasa penghargaan hadiah pula, mereka merasa dihargai apabila rakan sekerja atau ketua memberikan hadiah sebagai tanda menghargai mereka. Hadiah ini boleh berbentuk barangan, tiket, baucer dan sebagainya. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa hadiah yang diberikan perlulah sesuai dan menunjukkan usaha dalam menghargai individu tersebut. Bukanlah semata-mata hanya memberikan hadiah kerana “terpaksa” atau “adat” semata-mata. 
Individu yang mempunyai bahasa penghargaan ini sangat merasa dihargai sekiranya beliau mendapati pemberi menunjukkan usaha atau memberikan hadiah yang mempunyai nilai sentimental kepada mereka.




Sentuhan Fizikal 

Secara amnya, bahasa penghargaan sentuhan fizikal ini sangat terhad apabila dikaitkan dengan bahasa penghargaan di tempat kerja kerana ia kurang sesuai dengan sesetengah budaya dan keselesaan individu.   Namun begitu, individu yang mempunyai bahasa penghargaan sentuhan fizikal ini biasanya merasa dihargai apabila rakan sekerja/ketua berjabat tangan, menepuk bahu atau memeluk apabila mereka berjaya mencapai sesuatu atau di dalam keadaan yang sedih/memerlukan sokongan.


 



Kesimpulan

Seperti yang telah diterangkan pada awal artikel ini, setiap individu mempunyai bahasa penghargaan berbeza. Aminah mungkin lebih rasa dihargai apabila rakan sekerja/ketua membantu beliau dalam menyelesaikan tugasan berbanding jika mereka memberi kata-kata peneguhan/pujian, manakala Ahmad mungkin lebih rasa dihargai jika rakan sekerja/ketua memberikan hadiah berbanding membantu beliau menyelesaikan tugasan. 

Jadi, adalah amat penting untuk mengetahui bahasa penghargaan di tempat kerja agar kita mampu memberikan penghargaan yang bersesuaian dengan bahasa penghargaan setiap individu yang berbeza. Kajian menunjukkan, pekerja meninggalkan sesebuah organisasi bukanlah kerana isu gaji ataupun beban tugas, tetapi kerana mereka merasakan bahawa mereka tidak dihargai. 

Bagi mengetahui apakah bahasa penghargaan masing-masing, anda boleh menjawab soal selidik yang terdapat di internet atau di dalam buku The 5 Language of Appreciation in the Work Place dan  mengetahui lebih lanjut lagi tentang bahasa penghargaan di tempat kerja. 
u can read this book for more info

Rujukan
Gary Chapman & Paul White, The 5 Language of Appreciation in the Work Place, Northfield Publishing (2011)

Sumber gambar: Googleimage


 

No comments:

Post a Comment